Masalah pembeli Residensi PR1MA Seremban Sentral diselesaikan - Utusan Malaysia

Masalah pembeli Residensi PR1MA Seremban Sentral diselesaikan

Kenaikan harga barang binaan menyebabkan kontraktor kelas G1 gagal siapkan projek Rumah Mampu Milik. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembeli projek perumahan Residensi PR1MA Seremban Sentral yang menghadapi isu penyerahan unit masing-masing yang masih lagi tertangguh telah diselesaikan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerahan sebanyak 891 unit perumahan tersebut akan diserahkan kepada setiap pembeli mulai bulan hadapan.

“Residensi PRIMA telah menghadapi masalah yang panjang kerana perbalahan di antara Perbadanan PR1MA Malaysia dan tanah rizab keretapi sejak tahun 2015 tidak boleh selesai. Sebanyak 891 unit yang tidak dapat dimasuki oleh penghuni kerana perbalahan ini, alhamdulillah, kita selesaikan dan mulai 1 Jun ini, boleh 891 penghuni boleh masuk,” katanya.

Berita gembira itu diumumkan oleh beliau sewaktu berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di pekarangan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di pekarangan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Anwar menambah, pembangunan Fasa 2 Seremban Sentral di atas tanah 10 hektar berkonsepkan Transit Oriented Development akan dimulakan pelaksanaan tahun ini secara tender terbuka.

Jelas beliau, pembangunan itu akan menyediakan hab pengangkutan baharu di samping memulihara bangunan bersejarah Stesen Keretapi Seremban yang sedia ada. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion kepada Negeri Sembilan termasuk bagi pelaksanaan projek-projek baharu.

Katanya, projek berkenaan termasuklah pembinaan jalan susur dari tol baharu seremban ke Jalan Lingkaran Tengah Seremban yang melibatkan sebanyak RM600 juta dan pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek, Sepang, Selangor yang melibatkan kos projek sebanyak RM160 juta.

jelasnya, turut sama, pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan yang membabitkan projek RM280 juta termasuk pembinaa semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN