TUMPAT: Malaysia memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara jiran sebagai salah satu usaha menangani pencerobohan nelayan asing yang mencuri dan merompak hasil laut negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan semasa pertemuan dengan rakan sejawat dari Indonesia, Thailand dan Filipina beberapa minggu lalu.
Menurutnya, pada masa sama beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat kabinet supaya ia dapat dibentangkan di Parlimen untuk diambil tindakan sehingga ke peringkat pertubuhan antarabangsa.
“Kalau dilihat kembali rekod kita, untuk tahun ini sahaja nilai bot nelayan asing yang dirampas dan dilupuskan sudah mencecah antara RM15 hingga RM20 juta. Jika dikira bermula 2007 lalu sehingga kini, nilainya lebih RM670 juta.
“Angka ini menunjukkan insiden tersebut terus berlaku dan kita tidak boleh berputus asa. Usaha perlu diteruskan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan agensi ke agensi,” katanya pada sidang akhbar semasa lawatan kerja ke sempadan maritim negeri Kelantan, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution memberitahu, pada masa sama penguatkuasaan dan operasi berterusan perlu dilakukan bagi memastikan pencerobohan nelayan asing di perairan negara dapat dikekang.
Katanya, usaha membanteras kecurian dan rompakan hasil laut dilakukan secara bersama antara semua negara-negara yang terlibat.
“Hanya dengan cara itu kita boleh bergerak ke arah mengurangkan potensi ancaman pencerobohan bot nelayan asing ke kawasan perairan negara selain terus memperkuatkan keupayaan agensi penguatkuasaan maritim kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, selain pencerobohan nelayan asing kawalan sempadan perairan negara turut memberi tumpuan kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin (PATI), barangan kontraban dan kawalan.-UTUSAN