Lombong nadir bumi: Kerajaan NS arah pejabat daerah lakukan pemantauan - Utusan Malaysia

Lombong nadir bumi: Kerajaan NS arah pejabat daerah lakukan pemantauan

AMINUDDIN Harun turut ke lokasi penemuan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Susulan penemuan aktiviti perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah, kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengarahkan kesemua pejabat daerah dan tanah di negeri ini untuk melakukan pemantauan sekiranya terdapat aktiviti serupa yang dijalankan di lokasi lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, untuk tujuan itu, kesemua pegawai daerah telah diberikan taklimat oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan termasuk berkaitan modus operandi serta kegiatan yang dilakukan bagi aktiviti perlombongan nadir bumi itu.

“Aktiviti ini (perlombongan nadir bumi) kali pertama berlaku di negeri ini, jjadi (taklimat) ini akan memberikan pendedahan secara terus kepada pihak pejabat daerah dan tanah supaya ambil tindakan sewajarnya. Ini merupakan perkara yang harus dipandang serius dan perlu diambil tindakan segera.

“Perkara ini masih lagi dalam siasatan terutama oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan, PTG Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah serta pihak penguat kuasa yang lain.

“Beberapa enakmen juga sedang dikenal pasti dan kami akan serahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk melihat apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil,” katanya ketika ditemui di Wisma Negeri di sini hari ini.

Semalam, Aminuddin memaklumkan satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

Beliau berkata, susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu telah dijalankan dan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.

SEBAHAGIAN lokasi aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi yang ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah,

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, keluasan tanah yang terlibat dalam perlombongan haram itu sedang dikenal pasti termasuk kemungkinan ia turut melibatkan tanah milik kerajaan.

“Memang luas, maksudnya tidaklah hanya dua ekar, masih belum dapat keluasan yang tepat, ia juga melibatkan kawasan berbukit. Kami juga menyiasat sama ada tanah tersebut terdapat tanah milik kerajaan yang terlibat.

“Sama ada lama atau tidak aktiviti ini telah berjalan juga masih belum dapat diketahui kerana tiada sebarang tangkapan dan tiada pengesahan hanya pihak Jabatan Mineral dan Geosains boleh menganggarkannya,” katanya lagi.

Sementara itu, ditanya sama ada aktiviti haram itu memberi kesan terutama pencemaran kepada alam sekitar, Aminuddin menjelaskan, perkara tersebut juga masih lagi dalam siasatan oleh pihak berkaitan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya