TAMPIN: Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kawasan luar bandar termasuk di tanah-tanah rancangan Felda akan dipastikan tidak terpinggir daripada mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keperluan untuk menyediakan kemudahan itu perlu dipikul semua pihak dan bukan hanya oleh syarikat telekomunikasi semata-mata.
“Saya tidak mahu anak-anak kita terpaksa memanjat pokok untuk dapatkan liputan. Saya tidak mahu peneroka terpaksa pergi berdekatan menara (telekomunikasi) untuk dapatkan liputan.
“Teknologi 5G kini sudah mencapai sebanyak 64 peratus pemasangannya dan dilakukan di kawasan yang berpendudukan tinggi di negara ini. Namun, Felda dan kawasan luar bandar bukanlah kawasan yang berpendudukan tinggi.
“Saya tekankan dalam mesyuarat Kabinet, kawasan luar bandar, kawasan Felda, kawasan Felcra wajib diberikan kesamarataan bagi segi liputan 5G. Ini adalah sesuatu yang bukan sahaja menjadi panduan serta tanggungjawab syarikat tetapi juga kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Komuniti Felda Jelai 2, Gemas, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, kerajaan juga akan memastikan isu perumahan yang melibatkan generasi kedua Felda akan diatasi segera oleh kerajaan
“Keperluan mesti dibuat sekarang, saya yakin masalah generasi kedua itu harus diatasi segera kerana mereka merupakan penyokong kita,” katanya. -UTUSAN