LANGKAWI: Bahang kemeriahan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) semakin terasa apabila beberapa pesawat mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) sejak semalam.
Selain aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tujuh buah pesawat August 1st (J-10) milik China antara yang sudah mendarat di pulau peranginan itu.
Malah, pasukan aerobatik Black Eagle dari Korea Selatan turut tiba sebelum ini yang memeriahkan lagi penganjuran pameran berprestij itu.
Pesawat Sukhoi SU-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk serta pelbagai jenis helikopter TUDM termasuk aset terbaharu jenis MD530G juga mula melakukan latihan penerbangan di ruang angkasa langkawi.
Sementara itu, tinjauan di sekitar LTAL mendapati orang ramai mula memenuhi lokasi-lokasi yang terletak bersebelahan landasan bagi menyaksikan ketibaan pesawat-pesawat tersebut.
Mereka mula berkumpul sejak pukul 8 pagi untuk melihat sendiri latihan penerbangan yang bermula hari ini.
Seorang penduduk, Yusni Fadzli Mat Esoff, 47, berkata, dia datang untuk melihat latihan pesawat apabila melihat jadual yang dikongsikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
“Biasanya semasa LIMA berlangsung, memang kami akan parkir kereta di sini untuk melihat pertunjukan udara kerana lebih mudah dan dekat dengan landasan.
“Saya dan keluarga berasa teruja untuk melihat persembahan LIMA23 nanti jadi kami datang dahulu untuk melihat latihan penerbangan,” katanya.
Sementara itu, terdapat juga mereka yang mengambil peluang dengan kebanjiran orang ramai untuk membuka gerai jualan di lokasi itu.
Seorang penjaja, Muhammad Nasri, 20, memberitahu dia datang dari Sungai Petani, dekat sini untuk menjual baju-T dan beg galas di gerai yang disediakan berdekatan Kuarters Kakitangan LTAL.
“Tetapi disebabkan tapak berniaga belum dibuka secara rasmi, saya cuma buka meja sementara sahaja dan Alhamdulillah ramai yang datang melihat latihan persembahan membeli cenderahati bertemakan LIMA23.
“Saya mula buka gerai seawal pukul 10 pagi semalam. Walaupun semalam tiada latihan dijadualkan, ramai orang sudah berhimpun untuk menunggu kedatangan pesawat yang menyertai LIMA23,” ujarnya.-UTUSAN