Lima loji di Johor kritikal jika El Nino berlarutan hingga Julai - Utusan Malaysia

Lima loji di Johor kritikal jika El Nino berlarutan hingga Julai

MOHAMAD FAZLI SALLEH ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri JCorp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lima loji rawatan air (LRA) di negeri ini berisiko berada pada paras kritikal sekiranya fenomena El Nino berterusan hingga Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Ir. Mohamad Fazli Salleh berkata, loji itu ialah LRA Lok Heng dan Sungai Gembut di Kota Tinggi, LRA Bukit Batu (Kulai), LRA Tenglu (Mersing) dan LRA Sultan Iskandar (Johor Bahru) yang pernah mempunyai rekod kekurangan bekalan air ketika negeri berdepan situasi sama beberapa tahun dahulu.

“Kita telah pantau kadar air semasa di 16 empangan di seluruh negeri dari semasa ke semasa. Untuk itu, kita telah melakukan pelan mitigasi dengan meletakkan beberapa pam air seperti di Sungai Johor, Sungai Tiram dan Tasik Biru, Seri Alam selain projek pemindahan air mentah dari Sungai Lukah kira-kira 10 juta liter sehari.

“Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya fenomena El Nino berterusan hingga Julai dan tidak ada taburan hujan dalam tempoh itu,” katanya ditemui  selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Johor Corporation (JCorp) di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan Exco yang lain.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor yang mudah dipengaruhi fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian itu pada 2015 dan 2016.  

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, empangan terkecil di Johor adalah di Gunung Ledang, Muar yang berkapasiti 0.39 juta meter padu hanya mampu bertahan 13 hari, manakala yang terbesar ialah Empangan Bekok, Yong Peng yang boleh bertahan 299 hari sekiranya tiada hujan.

Antara perancangan yang difikirkan boleh dilaksanakan ialah pemindahan air terawat dari sebuah empangan ke empangan lain yang terjejas sama ada melalui sungai atau saluran terus ke paip yang berhubung selain turut mempertimbangkan untuk melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan mendesak.

“Pembenihan awan adalah salah satu pilihan yang kita ada, saya sudah bincang dengan pihak Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), cuma kita risau pembenihan yang dilakukan tidak hujan di kawasan empangan yang dimahukan disebabkan faktor angin.

“Pilihan terakhir yang kita akan lakukan ialah dengan membuat catuan air sekiranya keadaan mendesak dan kita berharap perkara itu tidak berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya