KOTA BHARU: Kelantan FC terus menjadi ‘lauk’ selepas dibelasah PDRM FC 1-4 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC merekodkan kekalahan ke-10 selepas mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Pada perlawanan itu, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Marcus Papee Macauley yang bijak memperdayakan benteng pertahan tuan sekaligus mudah menewaskan penjaga gol Nik Mohd. Amin Ahmad.
Kerapuhan benteng pertahan Kelantan FC terus dihukum pelawat pada minit ke-33 selepas Mohamad Nabil Ahmad Latpi berjaya melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Nik Mohd. Amin hasil serangan balas pantas.
Tersentak dengan dua jaringan awal pelawat, skuad kendalian Frank Bernhardt cuba bangkit untuk merapatkan jurang namun gagal apabila benteng pertahanan PDRM kekal tenang menafikan setiap percubaan dilakukan oleh The Red Warriors (TRW).
Bersambung babak kedua, Kelantan FC terus dirundung malang apabila Uche Agba menghukum kealpaan barisan pertahanan TRW dengan gol ketiga PDRM FC pada minit ke-65.
Bruno Suzuki melengkapan malam derita TRW dengan meledakan jaringan keempat selepas tenang menyempurkan sepakan penalti pada minit ke-90 perlawanan.
Kelantan FC akhirnya memperoleh jaringan saguhati pada masa tambahan babak kedua menerusi tandukan Miguel Cifuentes.
Bagaimanapun jaringan itu sudah terlewat untuk mengubah kedudukan dan keputusan 1-4 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas mengharungi 12 perlawanan, Kelantan FC terus menghuni tangga kedua tercorot di Liga Super dengan mengumpul empat mata.-UTUSAN