GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli dari suku kaum Bateq dikhuatiri hilang selepas dipercayai diserang seekor harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring di Kampung Aring 5 di sini, kelmarin.
Kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu berlaku ketika Halim Asin, 27, sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, lapan tahun di sungai berkenaan.
Bapa kepada Alang, Kuang Camang, 31, sebelum itu dia, isteri, mangsa bersama pasangan dan empat anak sedang berjalan kaki sejak Sabtu lalu menuju ke Kampung Aring 5.
Menurutnya, sebelum Ramadan lalu mereka sekeluarga telah tinggal di Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang selama sebulan.
“Pada Sabtu lalu, kami membuat keputusan untuk pulang ke Kampung Aring 5 dengan berjalan kaki sebelum tiba di Hulu Sungai Aring 5 kira-kira pukul 11 pagi semalam.
“Kami mendirikan khemah di pinggir sungai untuk bermalam di hutan berkenaan kerana ingin menangkap ikan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Kuang memberitahu, Halim mengajak Alang menemaninya memancing ikan di sungai dengan jarak lebih kurang 500 meter kira-kira pukul 11.30.
Katanya, selepas hampir sejam pergi memancing Alang, kembali dengan ketakutan dan memaklumkan Halim diserang seekor harimau.
“Anak saya yang terkejut terus terjun ke dalam sungai dan berenang menyelamatkan diri. Kami telah memantau tempat kejadian dan Halim tiada di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan orang hilang pada pukul 10 malam semalam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat oleh anggota keselamatan telah digerakkan bermula semalam.-UTUSAN