Lelaki OKU mengaku salah tembak polis, miliki senjata api, dadah - Utusan Malaysia

Lelaki OKU mengaku salah tembak polis, miliki senjata api, dadah

MUHAMAD FIRDAUS PAIMAN yang memakai kaki palsu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tujuh pertuduhan termasuk melepaskan tembakan ke arah polis, memiliki pistol dan dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, dadah dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Muhamad Firdaus Paiman, 35, yang tidak mempunyai kaki kiri membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dengan menyalahi undang-undang dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela pada kira-kira 1 pagi pada 10 Mei lalu dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman maksimum 14 tahun serta sebatan maksimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9mm tanpa lesen pada tarikh dan waktu yang sama, manakala pertuduhan ketiga didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen kira-kira pukul 2.30 pagi, 10 Mei lalu di sebuah rumah dekat Felda Tunggal.

Pertuduhan keempat pula, Muhamad Firdaus yang merupakan duda anak dua didakwa memiliki sebutir peluru jenis Kartus 12 Bore tanpa lesen pada tarikh dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela dan mahkamah kemudian menetapkan 15 Jun ini bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Tinggi,  Muhamad Firdaus turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd. Shafiq Nazrin Razali bagi menghalang ditangkap di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang pada pukul 3.35 petang, 7 Jun 2016.

Bagi pendakwaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela, di sini kira-kira pukul 1 pagi, 10 Mei lalu dan didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, dia turut didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.90 gram di lokasi dan masa yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid. Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Pengerang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya