Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan strok haba

Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan strok haba

SARIPAH Mansor (kanan) menunjukkan gambar arwah suami ketika ditemui di Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang meninggal dunia semasa sedang menunggu anaknya pulang dari sebuah sekolah di Bachok, semalam diserang penyakit jantung dan bukannya strok haba sebagaimana tular di aplikasi WhatsApp.

Isteri kepada lelaki berkenaan Saripah Mansor, 39, berkata, hasil laporan bedah siasatan yang dijalankan ke atas jenazah arwah suami Mohd. Kamarulzaman Yusoff, 45, mendapati dia meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurutnya, jenazah suami selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pok Joh, Tumpat pada pukul 1 pagi tadi.

“Semasa kejadian saya ada disamping suami untuk mengambil anak pulang dari sekolah. Ketika itu kami berada di dalam kereta dan menunggu giliran kerana jalan masuk ke sekolah mengalami kesesakan kerana masing-masing ibu bapa mahu mengambil anak.

“Secara tiba-tiba suami mengalami kekejangan dan saya yang berada di tempat duduk hadapan penumpang terus keluar dari kereta untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Saripah memberitahu, dia kemudian terus mendapatkan bantuan daripada kakak ipar yang secara kebetulan sedang menunggu anaknya dari sekolah.

Katanya, orang ramai yang berada di lokasi turut membantu membawa suami ke kawasan surau sekolah bagi mengelakkan bahang panas sementara menunggu ambulans untuk memberikan rawatan.

“Bagaimanapun, suami meninggal dunia di atas surau sekolah semasa menunggu rawatan. Saya reda dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali bercakap soal insurans. 

“Arwah cakap dekat saya ada mengambil insurans untuk dirinya dan saya. Arwah kata…kalau dia pergi dulu, guna duit insurans itu untuk bayar semua hilang dan baki selebihnya untuk belanja saya dan anak-anak. Saya tidak menyangka perkara merupakan pesanan terakhir arwah sebelum meninggal dunia,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai terkena serangan strok haba semasa sedang menunggu anaknya pulang dari sebuah sekolah di sini.

Mangsa dilaporkan mengalami kekejangan sebelum rebah dan meninggal dunia di lokasi.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya