GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah trak pikap sebelum tercampak dan dilanggar sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhamad Alham Ismail, 27, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 gagal mengawal motosikalnya semasa tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah trak pikap jenis Isuzu DMax yang berhenti di sekatan jalan raya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta Proton Persona yang datang dari arah tersebut.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Choon Foo memberitahu, pemandu trak pikap jenis Isuzu DMax dan Proton Persona bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan
Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN