PUTRAJAYA: Komputer riba terus muncul sebagai peranti yang paling banyak dibuang oleh rakyat Malaysia di seluruh negara untuk dijadikan sisa elektronik atau e-waste.
Demikian hantaran terbaharu Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai peratusan jenis sisa itu yang dilupuskan di kesemua 197 buah pusat pengumpulan sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan infografik yang dipaparkan agensi tersebut, komputer riba atau lazim disebut sebagai laptop kekal tertinggi dengan mendominasi separuh daripada keseluruhan sisa.
Ia meningkat agak ketara berbanding hanya 37 peratus yang direkodkan JAS pada 2021 melalui program berkala pada Sabtu terakhir setiap bulan di seluruh Malaysia.
Situasi itu turut menunjukkan ada peralihan trend gaya hidup majoriti rakyat negara ini susulan peralihan era pandemik Covid-19 yang menggantikan komputer riba model lama.
Senario berkenaan kemungkinan besar turut dipengaruhi faktor peranti itu mudah rosak disebabkan pelaksanaan amalan bekerja dari rumah sejak 2020.
Sementara itu, sisa elektronik kedua paling tinggi dibuang ialah televisyen yang mencatatkan 20 peratus berbanding 26 peratus pada 2021, bahkan memintas telefon bimbit jatuh di posisi ketiga.
Peranti berkenaan merekodkan sebanyak 16 peratus dilupuskan sebagai e-waste yang menunjukkan kemerosotan agak teruk daripada 31 peratus dicatatkan JAS pada 2021.
Ini disusuli peti sejuk sebanyak tujuh peratus di tempat keempat, melonjak berbanding dua peratus pada 2021 kerana banyak dilupuskan ekoran siri insiden banjir besar tahun lalu.
Tidak ketinggalan ialah mesin basuh yang turut bertambah kepada lima peratus daripada hanya dua peratus pada tahun sebelumnya disebabkan impak bencana alam berkenaan.
Pendingin hawa pula kekal sebagai peranti paling kurang dibuang oleh para pengguna negara ini pada tahun lepas dengan cuma dua peratus, konsisten sebagaimana pada 2021.
JAS mula melaksanakan hari pengumpulan e-waste sejak Januari 2021 dalam usaha bagi mendidik rakyat melupuskan sisa tersebut dengan cara selamat di lokasi yang ditetapkan.
Inisiatif itu bukan sekadar menggalakkan rakyat memperoleh wang tunai sebagai ganjaran, bahkan memupuk sentimen mesra alam sekiranya barangan elektrik di rumah yang sudah rosak.
Sisa tersebut dikategorikan JAS sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Ia perlu dilupus teratur kerana mengandungi komponen bahan bertoksik seperti kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan dan bifenil terpoliklorin.
Agensi tersebut menjangkakan sebanyak 24.5 juta unit e-waste bakal dibuang di Malaysia menjelang 2025, namun, perlu diurus dengan betul demi kelestarian kualiti alam sekitar.-UTUSAN