KOTA BHARU: Seorang pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu sanggup mengabdikan diri selama lapan tahun sebagai sukarelawan haji bagi membantu jemaah yang akan berangkat ke Mekah untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Saiful Azhar Jaafar yang menjadi sukarelawan haji sejak tahun 2015 lalu berkata, setiap kali tiba musim haji, dia akan memandu kereta dari Dungun semata-mata untuk membantu melancarkan urusan bakal haji.
Menurutnya, walaupun usaha itu nampak kecil, semangatnya tetap berkobar-kobar untuk melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh Tabung Haji.
“Penat memandu memang ada, namun, semua itu ‘hilang’ sebaik sahaja melihat raut wajah bakal jemaah haji.
“Sepanjang lapan tahun berkhidmat sebagai sukarelawan, banyak perkara yang saya pelajari termasuk persediaan untuk mengerjakan ibadah haji,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Saiful memberitahu, segala pengalaman yang dikutip sebagai sukarelawan itu akan dimanfaatkan apabila terpilih untuk menunaikan haji suatu hari nanti.
Katanya, dia memasang impian untuk mengerjakan haji pada usia muda ketika kudrat masih lagi gagah ketika ini.
Mohd. Saiful berkata, kerja-kerja sukarelawan haji tidak mengganggu tugas hakikinya sebagai seorang pensyarah di Dungun.
Katanya, hal ini kerana dia turut dibantu oleh 15 sukarelawan yang lain bagi melancarkan lagi operasi menguruskan bakal jemaah.
“Saya pulang pada hari minggu, walaubagaimanapun kami kerap berhubung dan bertanya khabar bagi memastikan operasi berjalan lancar,” ujarnya. -UTUSAN