PORT DICKSON: Kutipan cukai sebanyak RM175 bilion yang dicatatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun lalu yang juga jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah merupakan bukti prospek ekonomi negara bagi jangka pendek dan panjang adalah bertambah baik.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keadaan ekonomi negara yang bertambah baik itu bagaimanapun bukan hanya dilihat berdasarkan jumlah kutipan cukai yang tinggi tetapi juga berdasarkan pertumbuhan suku pertama yang lebih baik dan kadar inflasi yang menurun untuk 11 bulan berturut-turut.
“Kalau kita lihat kenyataan-kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebenarnya memang ada sambutan dan optimisme mengenai keadaan ekonomi kita.
“Prospek jangka pendek dan jangka panjang ekonomi negara itu setakat ini menunjukkan keadaan bertambah baik cuma saya sebagai Menteri Ekonomi, kami juga bertanggungjawab melihat bahawa pertumbuhan yang baik sekarang ini mestilah mampan.
“Maksudnya ia mestilah dapat bertahan secara berterusan untuk (tempoh) lima, 10 tahun akan datang. Sekiranya keadaan ekonomi negara ini positif berterusan, laba itulah yang akan kita gunakan adakan jaringan keselamatan sosial golongan-golongan di bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 Bersama Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan LHDN merekodkan kutipan cukai tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu iaitu sebanyak RM175 bilion sekali gus menjadi petanda kadar pematuhan cukai dalam kalangan rakyat bertambah baik.
Sementara itu, Rafizi menjelaskan banyak perkara perlu dilihat daripada aspek menguruskan ekonomi negara seperti pertumbuhan ekonomi, inflasi, kadar kutipan hasil negara, fiskal defisit dan bukannya hanya kadar mata wang.
“Kita tidak boleh terlalu reaktif kepada sesuatu yang berlaku, kerana contohnya turun naik kadar mata wang ini ia memberi kesan berlainan kepada ekonomi negara.
“Secara umumnya memang kita mahu kadar mata wang kita kukuh, tapi buat masa sekarang dalam keadaan di luar kawalan kita, kita juga perlu guna peluang yang ada semasa mata wang yang rendah ini untuk kita kukuhkan perkara lain,” katanya lagi.-UTUSAN.