KUALA LUMPUR: Peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kes pengabaian dan penderaan remaja perempuan sindrom down, Bella merupakan manifestasi kelompangan perundangan yang perlu ditambah baik segera.
Menurut empat peguam itu, kerajaan didesak membuat penambahbaikan kepada Akta Kanak Kanak 2001 supaya lebih inklusif bagi melindungi kanak-kanak dari pengabaian, penganiayaan, penderaan dan ekploitasi.
“Antara lain adalah penting bagi memastikan operasi pusat yang berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak kanak hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar terlatih dan bukan menjadikan pusat tersebut sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan dari mana mana pihak,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.
Dalam pada itu, mereka juga mendesak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-kanak yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-kanak mengaktifkan segera Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-kanak.
“Ia bagi memastikan satu pelan yang komprehensif bagi memastikan kes Bella tidak berulang lagi.
“Pelan dan dasar ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya berbunyi secara bermusim setiap kali berlakunya kes penderaan kanak kanak,” kata kenyataan itu.
Menurut mereka, sejak mula mengikuti kes Bella dapat melihat sendiri kecederaan akibat penderaan Bella dan berpandangan ia terlalu sakit untuk ditanggung seorang kanak-kanak hingga kesan kekalnya akan menyebabkan trauma daripada segi mental, emosi dan fizikal anak tersebut.
“Namun, dengan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada hari ini, tertuduh masih mempunyai ruang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi.
“Jika tertuduh berkehendak sedemikian dan pihak pendakwaan juga mempunyai hak untuk merayu jika hukuman yang diputuskan pada hemah pendakwa raya sebagai tidak mencukupi,” ujarnya.
Mereka selaku peguam pemerhati lantikan Tunku Mahkota Johor kemudian merakamkan penghargaan kepada aktivis JusticeforBella kerana membuka mata masyarakat akan episod penderaan yang berlaku.
Selain itu, mereka menjunjung kasih di atas keprihatinan Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam. –UTUSAN