JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak melarang institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan aktiviti luar semasa negara dilanda cuaca panas ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kementerian belum mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan aktiviti luar dalam keadaan cuaca panas melampau.
“Kebanyakan bilik kuliah di negara kita juga menggunakan pendingin hawa. Jadi, tidak timbul isu KPT perlu keluarkan arahan atau garis panduan tertentu berhubung aktiviti pelajar IPT dalam keadaan cuaca panas,” katanya ditemui pada Majlis Mesra Ria Aidilfitri anjuran Veteran UMNO di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa.
Khamis lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan mengarahkan semua institusi pendidikan menangguhkan aktiviti luar membabitkan pelajar, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas melampau.
Larangan itu termasuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.
Ahad lalu, KPM mengeluarkan garis panduan termasuk membenarkan sekolah ditutup sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kementeriannya tidak mengeluarkan sebarang arahan memandangkan aktiviti sukan tidak wajib ke atas semua penuntut IPT.
“Mungkin jika keadaan cuaca panas semakin melampau, aktiviti luar di IPT akan dinasihatkan ditangguhkan sementara, namun aktiviti lain termasuk kuliah tetap akan berjalan seperti biasa berikutan ia dilaksanakan dalam bangunan.
“Aktiviti sukan bergantung keadaan cuaca semasa apatah lagi ia tidak diwajibkan buat semua pelajar. Jadi, buat masa ini KPT tiada halangan untuk pelajar melakukan aktiviti luar serta beriadah sehingga cuaca menjadi lebih buruk,” katanya. – UTUSAN