KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan sudah menyelaraskan pengagihan bekalan gula kepada rantaian pengedaran pemborong, pasar raya, peruncit dan peniaga-peniaga seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sebanyak 111 premis membabitkan 77 pemborong, peruncit dan 14 pasar raya telah menerima bekalan hasil edaran daripada empat pemborong utama di Kelantan.
Menurutnya, hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati, bekalan gula boleh didapati antaranya di empat cawangan Mydin, peruncit dan pemborong terpilih.
“Sebanyak 6,480 kilogram (kg) gula sudah boleh dibeli di Mydin Kubang Kerian, Mydin Kota Bharu (5,760 kg), Mydin Tunjong (33,600 kg) dan Mydin Rantau Panjang (432 kg). Bekalan itu melibatkan lebih 55 peratus melalui 225 peruncit terpilih dan 70 peratus melalui pemborong terpilih.
“Selain itu, kilang gula juta telah menghantar 211 metrik tan gula ke negeri ini bermula semalam melalui pemborong utama dan pasar raya Mydin,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPDN Kelantan di sini hari ini.
Azman memberitahu, orang ramai dinasihatkan agar tampil membuat aduan khususnya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan selain tidak membuat pembelian panik atau membeli secara banyak untuk kegunaan isi rumah.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak tujuh aduan mengenai kekurangan gula, dua aduan peniaga enggan menjual dan satu aduan berkaitan harga mahal diterima KPDN setakat ini.-UTUSAN