Kesesakan Lebuhraya Pasir Gudang berakhir 2025 - Utusan Malaysia

Kesesakan Lebuhraya Pasir Gudang berakhir 2025

ALEXANDER NANTA LINGGI (dua dari kiri) bersama Mohammad Fazli Mohamad Salleh (kiri) meninjau kerja-kerja pelebaran laluan sepanjang 5.5 kilometer di Fasa 2B Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesesakan di Lebuhraya Pasir Gudang, khususnya dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang, di sini dijangka berakhir menjelang Oktober 2025 dengan siapnya kerja menaik taraf laluan sepanjang 5.5 kilometer berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini kerja-kerja pelebaran laluan Fasa 2B lebuhraya tersebut kini sedang giat dijalankan, manakala Fasa 3 melibatkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur Lebuhraya Utara-Selatan juga telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12).

“Kerja naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 3 kini di peringkat perancangan bagi pengesahan skop dan kos keseluruhan projek dan dijangka mula dilaksanakan pada Ogos 2023.

“Apabila kerja naik taraf ini siap kelak, kita jangka akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang kerap dilaporkan berlaku di lebuhraya ini, khususnya di kawasan yang masih dua lorong.

“Ini kerana sekiranya kerja pelebaran jalan telah dibuat sepenuhnya, lebih banyak kenderaan dapat lalu, sepatutnya kurang sesak, namun untuk mengatakan tidak akan berlaku kesesakan langsung itu tidak boleh dijangka,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Lebuhraya Pasir Gudang, di Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Alexander berkata, kerja menaik taraf Fasa 2B dan Fasa 3 itu melibatkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer yang merupakan kesinambungannya Fasa 1 dan Fasa 2A yang masing-masing siap pada 2016 dan 2018.

“Sementara itu, Kementerian Kerja Raya turut memperuntukkan RM107.34 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh Johor sepanjang tahun ini, termasuk yang rosak akibat banjir lalu dan daripada jumlah tersebut, RM5.24 juta khusus untuk lebuhraya tersebut,” katanya sambil memberitahu kira-kira 95,000 kenderaan menggunakan lebuhraya tersebut setiap hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya