Kes HFMD lepasi paras amaran kebangsaan

Kes HFMD lepasi paras amaran kebangsaan

IBU bapa diminta tidak menghantar anak yang bergejala ke sekolah bagi mengelak penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam negara dilaporkan melepasi paras amaran kebangsaan iaitu 1,150 kes seminggu bagi minggu ke-19 yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kes itu dikesan bagi tempoh 7 hingga 13 Mei lalu.

Beliau berkata, seminggu sebelum itu, kes HFMD turut dikesan melepasi paras purata kebangsaan iaitu 722 kes iaitu pada 30 April hingga 6 Mei lalu.

“Bagaimanapun, setakat 13 Mei lalu, hanya 9,822 kes HFMD dilaporkan iaitu menurun berbanding 31,622 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Data menunjukkan Selangor menyumbang kes tertinggi iaitu 2,443 kes atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Sabah (1,505 kes), Kuala Lumpur/Putrajaya (977 kes), Johor (915 kes), Sarawak 750 kes dan negeri-negeri lain sekitar 700 kes,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, setakat 13 Mei lalu, tiada kes HFMD yang dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematiqn HFMD dilaporkan.

Muhammad Radzi berkata, sejumlah 273 kluster HFMD dilaporkan setakat 13 Mei lalu dimana 170 kluster (62.3 peratus) dilaporkan berlaku di taska, tabika, tadika, pra-sekolah dan pusat jagaan harian.

Menurutnya, baki 101 kluster (37 peratus) berlaku di rumah persendirian dan dua kluster (0.7 peratus) berlaku di sekolah.

“Institusi tempat perhimpunan kanak-kanak adalah antara tempat yang dilihat sering berlaku penularan HFMD sehingga kadang kala boleh berlaku kluster HFMD.

“Kluster itu tercetus apabila kebersihan persekitaran tidak dijaga dan kanak-kanak dijangkiti hadir ke institusi,” katanya.

Katanya, beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengawal dan menangani peningkatan kes HFMD ini terutama ibu bapa, pengusaha taska dan pengusaha taman permainan ‘indoor’. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN