TUMPAT: Kerjasama antara Polis Kelantan dengan Polis Wilayah Narathiwat, Thailand memberikan impak positif dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kerjasama itu digerakan menerusi Ketua Polis Daerah di kawasan sempadan iaitu Jeli, Pasir Mas dan Tumpat menerusi perkongsian maklumat berkait dengan aktiviti jenayah.
“Kita (Polis Kelantan) akan teruskan hubungan baik ini dengan melakukan pertemuan yang lebih kerap dengan Polis Wilayah Narathiwat selepas ini.
“Kita menghargai usaha pihak berkuasa Thailand terutama di sempadan Narathiwat yang memenuhi janjinya untuk membantu penguatkuasaan mencegah penyeludupan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat malam tadi.
Muhamad Zaki memberitahu, pada masa sama kerjasama dengan agensi lain di negara ini seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan turut diperhebatkan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini berada dalam keadaan baik.-UTUSAN