PORT DICKSON: Sepasang suami isteri ditahan polis susulan tular di media sosial, video rakaman kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arah di Kilometer 17 sehingga 19 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan terhadap pasangan itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sebuah rumah di Mambau, Seremban pada pukul 2 pagi tadi.
“Kedua-duanya merupakan pemandu dan penumpang kereta yang terlibat. Tangkapan dibuat di rumah mereka di Mambau.
“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan tindakan melawan arah itu adalah untuk mencari bengkel bagi membaiki kerosakan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebuah kereta jenis Proton Wira yang dirakam dalam video tular itu turut dirampas dan dibawa ke balai trafik untuk tindakan lanjut.
Terdahulu media melaporkan, polis giat mengesan pemandu sebuah kereta yang didapati memandu secara melawan arah di SPDH di sini.
Menurut Aidi Sham, rakaman video kejadian tersebut yang berdurasi 32 saat turut tular di media sosial semalam.
Video berkenaan jelas beliau tersebut telah menunjukkan sebuah kereta jenis Proton Wira telah dipandu secara melawan arah di Kilometer 17 sehingga 19 SPDH di sini.-UTUSAN.