KOTA KINABALU: Kerajaan perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai makna yang lebih besar berbanding politik berasaskan etnik yang digerakkan melalui Proklamasi Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun UMNO adalah parti orang-orang Melayu dan parti bumiputera yang terbesar, namun, beliau berpandangan kerajaan perpaduan yang dibentuk mempunyai makna yang lebih besar untuk negara.
“Kami rasa soal etnik biarpun ia adalah satu isu akar umbi namun, kerajaan perpaduan yang telah dibentuk, negara Malaysia Madani yang kita dokong harus diberi keutamaan. Apa yang penting ialah soal kemajmukan rakyat di negara ini.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya atas pertemuan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tun Dr. Mahathir. Ucapan ini saya berikan kerana kita tahu bahawa Tun Mahathir merupakan liabiliti baharu dalam politik tanah air,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masa untuk pemimpin di negara ini mengenepikan perbezaan politik serta perbezaan etnik demi negara. Cukuplah selama satu penggal yang lalu politik negara telah berkecamuk sehingga negara dipimpin tiga pemimpin berbeza.
Kini, negara di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 19 parti berbeza daripada empat gabungan politik utama dan ini harus menjadi keutamaan.
Menurut beliau, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat dijunjung oleh UMNO dan beliau amat mengharapkan semua pemimpin parti politik menghayati dan menjunjung titah Sultan Johor ini.
“Ia adalah hasrat bagi kita mahu ke hadapan untuk membentuk sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi.
“Apa yang penting adalah kesejahteraan rakyat dan bukan masalah politik. Kita harus menamatkan polemik politik yang pelbagai ini dan jangan menimbulkan isu-isu baharu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan sekarang adalah kerajaan yang stabil dengan 148 ahli Parlimen yang mendokong kerajaan perpaduan dan ia harus terus diperkukuhkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO akan meneliti jika ada mana-mana ahli Parlimen parti itu menandatangani proklamasi Orang Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sekiranya ada ahli UMNO yang terlibat, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik sebelum ia dibawa kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk tindakan lanjut. -UTUSAN