Kerajaan lulus dua syarikat pengeluar gula, tentu harga gula

Kerajaan lulus dua syarikat pengeluar gula, tentu harga gula bertapis jernih

SALAHUDDIN Ayub beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDN dan Agensi 2022 di Putrajaya (PICC). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk penjualan gula putih bertapis jernih berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia melibatkan dua syarikat pengeluar gula terbesar di negara ini iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Kata beliau, pihaknya menerima permohonan daripada dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

“Permohonan ini adalah sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.

“Kerajaan juga memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85 (kasar) dan RM2.95 (halus) sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 kementerian itu di sini hari ini.

Salahuddin menegaskan, penjualan gula putih bertapis jernih ini tidak boleh digantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada.

Jelasnya, syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

“Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggan,” ujarnya.

Pada masa sama, kementeriannya juga turut mengajak pengguna di negara ini untuk mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Op Manis akan diteruskan sebulan lagi bagi mengawal harga bekalan berkenaan kekal stabil di pasaran. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya