MACHANG: Kerajaan menggerakan Felcra Berhad (Felcra) untuk menjadi salah satu agensi yang membantu melengkapkan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan menerusi aktiviti agro pertanian.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu menjadi tanggungjwab baharu yang diberikan kepada Felcra untuk membantu kerajaan.
Menurutnya, pada masa usaha itu turut membuka peluang kepada peserta Felcra dan generasi kedua untuk menjana pendapatan melalui bidang agro pertanian.
“Usaha ini bukan untuk bersaing dengan pengeluar sedia ada tetapi sekadar mengurangkan kos sara hidup dan juga untuk menentukan bahawa soal keterjaminan makanan ini tidak bermusim sama ada musim raya atau di luar musim.
“Apa yang kita lakukan ini secara tidak langsung mampu membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam mengurangkan import bahan makanan selain beras,daging lembu, ayam, telur dan beberapa bahan makanan lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Mesra Aidilfitri di Perkarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, setakat ini, kerajaan sudah memiliki estet padi seluas 3,000 hektar di Perak serta mengenalpasti sebanyak 12,000 hektar di Sarawak dan 6,000 hektar di Sabah.
Katanya, estet padi ini bergantung kepada ketersediaan tanah yang luas untuk dijadikan estet seperti di Perak.
“Di Sabah dan Sarawak persetujuan dasar sudah diperolehi dan kerja-kerja awalan untuk melakukan kajian kemungkinan sudah dilakukan.
“Soal hak milik tanah ia tidak akan mengambil hak milik kerajaan negeri atau individu, tetapi kita mempunyai perkongsian pintar seperti yang dilakukan di Perak,”ujarnya.-UTUSAN