Keputusan SDKA turun, pandemik jejas prestasi pelajar - Utusan Malaysia

Keputusan SDKA turun, pandemik jejas prestasi pelajar

MOHD. FARED MOHD. KHALID (dua dari kiri) beramah mesra dengan empat pelajar cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Darjah Khas Agama dan Sekolah Menengah Agama di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menjadi punca peratusan kelulusan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2022 Sekolah Agama Kerajaan Johor mencatatkan penurunan di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, daripada seramai 20,028 calon, 11,622 pelajar lulus SDKA manakala seramai 8,406 lagi gagal dalam peperiksaan itu.

Beliau berkata, keputusan itu menyaksikan penurunan kadar lulus sebanyak 25.46 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu seramai 16,429 calon lulus.

Katanya, calon yang memperoleh keputusan cemerlang dengan tujuh agregat menunjukkan penurunan kepada 79 orang berbanding 135 orang pada tahun sebelumnya.

“Penurunan ini berlaku disebabkan pelajar ini terpaksa melalui pengajian agama secara dalam talian dan bukannya secara bersemuka ketika negara dilanda pandemik Covid-19, ini bukanlah alasan tetapi fakta yang berlaku. 

“Pendidikan secara dalam talian berbanding pendidikan fizikal pasti ada kekangan. Kita mengakui bahawa pendidikan formal secara fizikal adalah yang terbaik, ini adalah kesan yang kita terpaksa akui berlaku,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan Keputusan Peperiksaan SDKA dan Sekolah Menengah Agama (SMA) di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shahizatul Arianie Shahrul dari Sekolah Agama Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dinobatkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan SDKA 2022 apabila memperoleh tujuh agregat, iaitu 12A1 dalam 12 mata pelajaran.

Mohd. Fared berkata, penurunan peratusan kelulusan SDKA di setiap daerah tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diteliti semula.

Selain kesan pandemik, penurunan kadar kelulusan itu juga dipengaruhi oleh faktor kekurangan guru yang berkhidmat dalam sistem pendidikan agama di negeri ini sehingga menjejaskan sesi pembelajaran pelajar.

“Dalam tempoh setahun ini, kita akan segera memastikan pengambilan seramai 631 guru agama di negeri ini, sekali gus meringankan beban guru-guru sedia ada ketika ini.

“Dalam masa sama, kita perlu melakukan penelitian semula terhadap penurunan peratusan kelulusan seterusnya menyasarkan peningkatan yang lebih besar untuk dicapai pada tahun ini,” katanya sambil memberitahu bahawa kerajaan megeri akan memastikan segala kemudahan dan infrastruktur semua sekolah agama ditambah baik bagi menjamin keselesaan pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya