Kementerian pantau berita palsu, kebencian menjelang PRN

KONVENSYEN NASIONAL: Kementerian pantau berita palsu, kebencian menjelang PRN

TO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mempergiatkan usaha menyekat berita palsu dan unsur kebencian yang mungkin wujud semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, sebuah pasukan petugas khas diwujudkan sejak Disember lalu yang memfokuskan kepada mencegah penyebaran berita palsu dan ucapan yang mempunyai unsur kebencian.

Menurut beliau, KKD sedar bahawa semasa kempen PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi, secara tidak langsung boleh menyebabkan wujudnya lebih banyak berita palsu yang objektifnya menyebarkan salah faham dan kebencian kepada pembaca.

“Jadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (SKMM) bersama Polis Diraja Malaysia, kami akan bekerja secara rapat untuk memantau ucapan-ucapan dalam sosial media bagi memastikan tindakan dapat diambil.

“Di sini juga saya ingin mengalakkan semua pembaca dan pengguna media sosial untuk klik dengan bijak, pada masa sama selalu rajin menyemak fakta,” katanya ketika ditemui pemberita Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka.

Antara negeri yang bakal berdepan dengan PRN tidak lama lagi adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.

Ketika ini, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikuasai oleh Pas manakala Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata, kementeriannya akan memastikan setiap enam negeri yang bakal diadakan PRN nanti mempunyai pusat media bagi memudahkan wartawan-wartawan melakukan liputan.

“KKD ingin memastikan semasa PRN dijalankan, semua kerja wartawan dapat berjalan secara lancar. Jabatan Penerangan akan pastikan bahawa enam negeri tersebut mempunyai pusat media yang didirikan.

“Untuk anggota-anggota media yang datang daripada luar negara dan sekiranya berminat melakukan liputan untuk PRN, mereka boleh memohon tag wartawan daripada Jabatan Penerangan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya