KLUANG: Jualan air kelapa pandan yang diusahakan seorang peniaga kecil di Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Bulatan Mardi antara gerai pilihan orang ramai untuk menghilangkan kehausan serta menyejukkan badan berikutan cuaca panas ketika ini.
Jika sebelum ini, jualan air kelapa pandan di gerai berkenaan agak suram, namun, selepas fenomena cuaca panas berpanjangan, ia menjadi pilihan ramai yang melalui jalan itu.
Mohd Ghazali Esa, 47, berkata, setiap hari dia perlu menyediakan antara 50 hingga 100 biji kelapa pandan yang siap dibungkus airnya untuk dijual kepada pelanggan.
Katanya, sebelum ini, sukar untuk menjual walaupun 30 biji dan kini, orang ramai mula menjadikan air kelapa sebagai minuman pilihan untuk menyejukkan badan.
“Alhamdulillah, mungkin ini adalah rezeki bagi kami sebagai penjual minuman di tepi jalan dan sedar peluang tidak datang selalu.
“Oleh yang demikian, antara dua hingga tiga hari sekali, saya akan mengambil bekalan tambahan daripada pembekal di Pontian serta Parit Raja bagi mengelakkan kehabisan kelapa pandan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Ghazali lagi, ada pelanggan yang membuat pembelian secara banyak sebagai simpanan dan dibungkus siap untuk diminum sepanjang perjalanan ke lokasi dituju.
Sementara itu, Rahmat Osman, 55, berkata, kelapa pandan menjadi pilihan kerana airnya mampu menjadi ubat untuk menyejukkan badan khususnya mereka yang berhadapan masalah demam panas.
Ujarnya lagi, selain air kelapa pandan, turut mendapat sambutan orang ramai adalah buah tembikai serta nanas MD2 kerana boleh diproses sebagai air minuman untuk menghilangkan kehausan pada musim cuaca panas ini.
“Walau apa pun pilihan orang ramai, namun tujuan mereka adalah untuk menyejukkan suhu badan apatah lagi berada di luar rumah dalam tempoh agak lama,” katanya. -UTUSAN