KOTA BHARU: Kelantan United FC terus kempunan mencipta kemenangan sulung apabila tumpas 1-3 ditangan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Tuan rumah yang turun dengan misi mencari kemenangan sulung terlebih dahulu memperoleh peluang terbaik membuka tirai jaringan namun percubaan Jose Elmer Porteria berjaya dinafikan pertahanan KL City pada minit ke-12
Bagaimanapun, KL City terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17 apabila T. Saravanan yang tidak dikawal tenang menghukum kealpaan barisan pertahanan tuan rumah.
Kealpaan benteng pertahanan Kelantan United terus dihukum apabila Sean Gan Gianelli meledakan gol kedua KL City FC pada minit ke-23 dengan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Asyraaf Omar.
Pemain import tuan rumah Devid De Santana Silva merapatkan jurang jaringan menjadi 1-2 apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gawang KL City FC Muhammad Azri Ab. Ghani pada minit ke-34.
Bersambung babak kedua, Kelantan United cuba bangkit untuk merapatkan jurang jaringan namun peluang terhidang gagal disempurnakan oleh barisan pemain tuan rumah.
Menuju minit-minit akhir perlawanan, Paulo Josue menambah derita Kelantan United apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Herlison Caion dijatuhkan oleh pertahanan tuan rumah.
Tuan rumah selepas itu, berpeluang merapatkan jurang jaringan namun sepakan penalti yang diambil oleh Yan Victor Silva berjaya diselamatkan Muhammad Azri untuk memastikan kemenangan mutlak menjadi milik KL City FC.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan United terus kekal didasar Liga Super dengan mengumpul dua mata selepas mengharungi 11 perlawanan.-UTUSAN