KOTA BHARU: Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, Bachok seluas lebih empat hektar ekoran cuaca kemarau yang bermula minggu lalu terkawal dan tidak menjejaskan operasi pengurusan bahan buangan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pihaknya telah melakukan tindakan segera dengan menambah kaedah pemadaman api berbentuk parit untuk diisi air bagi mengelakkan kawasan kebakaran merebak
Menurutnya, siasatan mendapati, tapak pelupusan sampah itu bukan menjadi pencetus kepada kebakaran sebaliknya ia berlaku di kawasan tanah gambut bersebelahan tapak berkenaan terlebih dahulu.
“Kebakaran itu terkawal kerana kita telah membina segera tambahan parit bagi mengelakkan api daripada terus merebak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Autisme Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sebuah hotel di Tunjong di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, kerja-kerja memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah seluas lebih empat hektar di Beris Lalang di sini dijangka selesai minggu ini.
Katanya, JBPM Kelantan menggunakan kekuatan maksimum dengan menempatkan 50 anggota bomba bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan selain mengelak ia merebak ke kawasan lain.
“Selain itu, sumber air dari kawasan tadahan berdekatan menerusi penyedut berkapasiti tinggi turut digunakan selain hos lebih besar untuk dialirkan ke lokasi kebakaran sejauh lebih 304 meter.
“Kebakaran yang bermula 25 April lalu itu menyebabkan pencemaran udara yang boleh menghalang penglihatan kenderaan darat dan trafik udara terutamanya pada waktu malam,” katanya.-UTUSAN