ROMPIN: Seorang kanak-kanak lelaki maut apabila kereta jenis Perodua Myvi dinaikinya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam dua meter ketika melalui Lebuhraya Bahau-Keratong, dekat Bandar Melati 15, Muadzam Shah di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Raziq Ramli, 12, dari Felda Keratong 6 di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan tersebut turut membabitkan tiga lagi mangsa dalam Perodua Myvi yang merupakan dua lelaki dewasa dan seorang lagi kanak-kanak lelaki.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan kira-kira pukul 3.20 pagi dan mengerahkan lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Muadzam Shah ke lokasi kejadian.
“Aapabila tiba di lokasi kejadian, Pihak kami mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas lalu jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter.
“Akibat kemalangan itu, seorang daripada empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulfadli berkata, anggota bomba menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa yang meninggal dunia ke atas. – UTUSAN