GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak Orang Asli, Alang Kuang mengakui masih lagi ‘trauma’ selepas berdepan detik cemas melihat bapa saudaranya diterkam seekor harimau di bahagian kepala dalam kejadian di Hulu Sungai Aring, kelmarin.
Alang yang berusia lapan tahun dan fasih bahasa suku kaum Bateq merupakan saksi tunggal kejadian Halim Asin, 27, diserang pak belang itu semasa sedang memancing ikan di kawasan sungai berkenaan.
Alang berkata, semasa kejadian dia sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berenang menuju ke tempat keluarganya berkhemah.
“Saya beritahu datuk (Asin Parang, 68)…pak cik telah diserang seekor harimau. Perasaan saya ketika itu sangat takut kerana melihat kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Aring 5 di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa kepada Halim, Asin memberitahu, dia terkejut apabila Alang berlari ke arahnya dalam keadaan menangis dan ketakutan.
Katanya, selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu dia terus bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 500 meter tempat mereka berkhemah.
“Ketika sampai kami dapati Halim sudah tiada. Kami seramai tujuh orang menaiki rakit menuju ke Kampung Aring 5 kerana takut haiwan terbabit muncul kembali.
“Saya memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai kejadian yang berlaku kepada Halim dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Paloh,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang lelaki Orang Asli suku kaum Bateq dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing di Sungai Aring 5.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Halim Asin, 27, dari Kampung Aring 5 sedang memancing bersama anak saudara, Alang Kuang, 8, sebelum dikatakan diserang haiwan liar berkenaan.-UTUSAN