Kalimah Allah: Tindakan cuba kaitkan DAP merupakan permainan politik Muhyiddin

Kalimah Allah: Tindakan cuba kaitkan DAP merupakan permainan politik Muhyiddin

ANTHONY Loke Siew Fook (empat dari kiri) ketika merasmikan majlis pelancaran nama baharu bagi Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan yang mendakwa terdapat menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah disifatkan sebagai permainan politik bekas Perdana Menteri itu.

Menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai tidak wajar dan tidak adil, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meminta beliau menamakan menteri daripada DAP yang dimaksudkan itu oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Ketika itu saya juga berada dalam Kabinet, beliau tidak pernah bangkitkan isu itu, malah keputusan untuk cuba selesai isu itu di luar mahkamah adalah keputusan Kabinet pada ketika itu, mungkin beliau tidak hadir pada mesyuarat Kabinet yang buat keputusan ketika itu.

“Tetapi untuk beliau lemparkan dan letakkan beban itu kepada DAP sahaja kita tahu lah apa tujuan politik beliau, apa sahaja mahu menyalahkan DAP. Itu keputusan Kabinet pada ketika itu tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak setuju, beliau teruskan dengan langkah mahkamah, itu terpulang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran nama baharu bagi Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin di sini hari ini.

Semalam Muhyiddin menerusi kenyataan di media sosialnya mendakwa ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada parti DAP yang meminta supaya KDN menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

Siew Fook dalam pada itu berpandangan, Perikatan Nasional (PN) ketika ini tiada modal sehingga terpaksa bermain dengan sentimen perkauman dan agama.

“Semalam dalam Mesyuarat Kabinet telah dibincangkan secara panjang lebar isu ini dan Kabinet tegas mempertahankan bahawa isu agama ini perlu ditangani dengan sensitif dan baik. 

“Sudah tentu Kabinet sebagai pembuat keputusan tertinggi di negara kita ini sentiasa mempertahankan kedudukan agama Islam dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan. Kita berharap supaya isu seperti ini perlu diuruskan dengan berhemah dan baik tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas dakwaan kononnya kehadiran pemimpin dan ahli DAP dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei lalu menyebabkan UMNO akan menghadapi protes dalam kalangan ahlinya, Siew Fook menyatakan tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Saya hadir sebagai salah seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan. Pada hari tersebut, seperti saya nyatakan dengan jelas kami bukan membawa topi parti kami. Perhimpunan pada 14 Mei yang lalu adalah perhimpunan merangkumi semua kekuatan dalam Kerajaan Perpaduan. 

“Disebabkan itu kami semua tidak memakai baju uniform masing-masing dan semua berbaju putih untuk menunjukkan kesatuan dan masing-masing hadir dengan satu semangat hendak Kerajaan Perpaduan tanpa melihat kepada topi politik parti masing-masing. Saya hadir sebagai Setiausaha Agung DAP tetapi saya berucap sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin melibatkan jalan sepanjang 3.3 kilometer yang bermula dari persimpangan Jalan Tun Dr. Ismail sehingga bulatan susur keluar ke Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Negeri Sembilan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana perkenan untuk menukar nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin bagi memperingati dan menghargai sumbangan mendiang kepada Seremban.

“Ini penghargaan yang baik kepada sumbangan, pengorbanan dan khidmat mendiang selama berpuluh tahun kepada Seremban, bukan sahaja sebagai ahli politik juga merupakan seorang doktor yang banyak berbakti kepada masyarakat terutama kepada orang miskin di Seremban,” katanya.

Mendiang yang merupakan antara pengasas awal DAP meninggal dunia pada 17 Ogos 2022 ketika berusia 98 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya