Kalau pembangkang cukup SD, bawalah ke Parlimen -Anwar 

Kalau pembangkang cukup SD, bawalah ke Parlimen -Anwar 

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 di Ibu Pejabat PBSSM di sini, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangkang supaya membawa akuan sumpah berkanun (SD) menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu timbul selepas terdapat cakap-cakap ada satu lagi gerakan dicetus oleh Perikatan Nasional (PN), malah difahamkan, akuan bersumpah itu sudah cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan. 

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti dan laporan menyatakan pembangkang diketuai Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk mengganti Anwar sebagai Perdana Menteri. 

Anwar turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa Kerajaan Perpaduan dipimpinnya akan terus kukuh dan bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

“Tidak mengapalah, kalau dia (Hamzah) ada tunggu pada persidangan Parlimen bawalah usul SD tiada masalah. 

“Ini setiap minggu dia jadi macam mengigau, sebelum hari raya, sebelum puasa, selepas hari raya, sebelum hari raya haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina. 

“Jadi, tunggulah sebelum itu, Insya-Allah kita akan kekal penuh hingga pilihan raya umum akan datang. Saya amat yakin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah, di sini hari ini. 

Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.

“Tak apalah, biar dia (Hadi) merancang dan mengigau,” katanya seperti dilapor pada Mac lalu. 

Kerajaan pimpinan Anwar kini merupakan kerajaan kuat dan stabil dengan sokongan melebihi dua pertiga iaitu 148 ahli Parlimen.

Pada 19 Disember 2020, Anwar berjaya melepasi ujian pertamanya selepas Dewan Rakyat meluluskan undi percaya terhadapnya  secara undian suara. 

Dengan keputusan itu, Anwar kekal sebagai Perdana Menteri, kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah jawatan selepas membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak. 

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Ahli Parlimen pembangkang yang ingin membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh mengemukakannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum tarikh hari ini (5 Mei 2023). 

Bagaimanapun, akhbar ini hari ini melaporkan, ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak merancang untuk mengemukakan  usul undi tidak percaya. 

Kata mereka, walaupun ada wakil rakyat kerajaan mencadang supaya pembangkang yang mahu membuat usul undi tidak percaya itu supaya mengemukakannya sebelum 5 Mei tetapi  usul itu bukan keutamaan pembangkang pada masa ini.

Pembangkang kini lebih menumpukan kepada usaha dan membuat persiapan rapi untuk menang dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung pada Jun atau Julai ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN