Jumlah penunggang p-hailing mohon tuntutan hilang upaya sementara Perkeso meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah penunggang p-hailing mohon tuntutan hilang upaya sementara Perkeso meningkat

CHOO Ken Hwa (dua dari kiri) dan Nur Muhammad Bakhtir (kiri) menyampaikan topi keledar kepada salah seorang penunggang p-hailing yang menyertai Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Bersama Penunggang P-Hailing di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes nahas jalan raya melibatkan golongan penunggang motosikal bagi sektor parcel hailing (p-hailing) di Negeri Sembilan dilihat membimbangkan berdasarkan jumlah permohonan hilang upaya sementara yang diterima pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Permohonan itu melibatkan golongan pekerja yang menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang turut disertai oleh penunggang p-hailing berkenaan.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalanraya Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 133 permohonan hilang upaya sementara telah diterima manakala setakat bulan Mac lalu sebanyak 47 permohonan serupa juga diterima.

“Kami khuatir jumlah ini akan meningkat lagi jadi saya menasihatkan supaya penunggang p-hailing ini untuk berhati-hati semasa menjalankan kerja mereka. Ini bukan soal tuntutan di Perkeso tersebut tetapi ia lebih soal keselamatan diri mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Bersama Penunggang P-Hailing di sini hari ini.

Ken Hwa juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri berkata, berdasarkan 133 permohonan hilang upaya sementara yang diterima tahun lalu itu, ia melibatkan jumlah bayaran melebihi RM300,000 oleh pihak Perkeso.

“Berdasarkan rekod bilangan pendaftaran orang bekerja sendiri menerusi skim SKSPS Perkeso, sebanyak 8,357 pendaftaran telah diterima mulai tahun 2021 sehingga bulan Februari 2023 di bawah sektor barangan dan makanan bagi kawasan sekitar Seremban dan Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, pada tahun lalu terdapat sedikit penurunan dalam pendaftaran SKSPS yang melibatkan golongan p-hailing berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2021 terdapat seramai 4,274 yang telah mencarum menerusi SKSPS tetapi tahun lalu hanya 3,853 sahaja yang mencarum. Sehingga bulan Februari tahun ini hanya terdapat seramai 230 orang sahaja yang mendaftar.

“Dengan hanya 230 orang yang mencarum tetapi sehingga bulan Mac sudah sebanyak 49 kemalangan yang berlaku, ia agak tinggi. Memang Perkeso akan bayar pampasan tetapi apa maknanya pampasan kalau ia boleh menjejaskan kehidupan mereka, sebab itu program pencegahan ini penting untuk memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui, antara punca bilangan penunggang p-hailing yang mencarum dalam SKSPS tersebut semakin berkurangan adalah disebabkan kebanyakan daripada mereka telah mempunyai pekerjaan dalam sektor lain.

“Kami memang ada menghubungi mereka dan maklum balas yang diterima ada yang telah bertukar pekerjaan dan tidak lagi bekerja sendiri, sebab itu adanya penurunan itu, ia adalah salah satu faktor,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya