JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menahan seramai 580 orang yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket perjudian dalam talian sejak 1 Januari hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dibuat dalam 554 serbuan yang dijalankan pihaknya.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain yang berusia antara 17 hingga 60 tahun.
“Selain itu, tindakan pemotongan bekalan elektrik dibuat terhadap 44 premis, manakala pembatalan lesen ke atas lapan premis terlibat turut dilakukan.
“Antara yang dirampas termasuk 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh tablet, enam laptop dan wang tunai berjumlah RM190,890,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 41(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Polis Johor turut meminta kerjasama orang awam untuk menyampaikan maklumat berkaitan kegiatan perjudian dalam talian di kawasan mereka dengan menghubungi bilik gerakan menerusi talian 07-2212999 atau 07-2254677. – UTUSAN