Jualan cendol musim panas meningkat sekali ganda

Jualan cendol musim panas meningkat sekali ganda

SATHAKTHULLAH SYED IBRAHIM menyiapkan cendol yang ditempah pelanggan di Lorong Cendol, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Cuaca panas pada ketika ini turut membawa rezeki kepada golongan peniaga, khusus penjaja cendol dan air batu campur.

Seorang peniaga cendol di Lorong Cendol, di sini, Noor Mohammad Kadir, 63, mengakui tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin menikmati keenakan cendol yang diwarisi sejak 60 tahun lalu.

Menurutnya, jualan cendol meningkat sekali ganda pada musim panas ini, iaitu daripada 100 mangkuk menjadi 300 mangkuk, tidak termasuk yang dijual secara bungkus.

Sejak 1 Syawal lalu, dia sudah membuka gerainya bagi memberi peluang kepada orang ramai termasuk yang bercuti ke daerah ini untuk menikmati keenakan cendol jualannya.

Noor Mohammad memberitahu, perniagaan cendol itu diwarisi daripada bapa saudaranya, Allahyarham Sultan Hassan yang mula berniaga di lokasi yang sama pada 1960-an.

“Ketika ini saya dibantu oleh anak saudara, Sathakthullah Syed Ibrahim, 45,” katanya kepada Utusan Malaysia sambil memberitahu semangkuk cendol dijual pada harga RM2 dan RM2.50 dengan tambahan kacang merah.

Pada hari biasa, dia menggunakan kira-kira 10 kilogram santan tetapi jumlah itu digandakan pada masa ini kerana pelanggan bertambah sebaik sahaja gerai cendol dibuka pada pukul 9.30 pagi.

Pelanggannya bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah ada yang sanggup datang dari Johor Bahru, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Singapura.

Selain gerai menjual cendol, kawasan tersebut turut menempatkan peniaga apam balik, kedai gunting rambut, kedai menjual pakaian dan barangan kulit. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya