MELAKA: Ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup, sebuah gerai makan di Batu Berendam di sini tampil dengan inisiatif tersendiri iaitu memperkenal menu nasi ayam yang berharga RM1.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik Pak Uda Corner, Suhaimi Sulaiman, 38, berkata, nasi ayam itu dijual pada setiap Jumaat dan pelanggan yang makan di gerai sahaja dapat menikmati harga istimewa berkenaan.
Katanya, nasi ayam RM1 adalah cetusan idea ibunya, Rokhiah Abd. Hamid, 69, yang mahu berniaga sambil bersedekah.
“Saya hanya menyediakan modal dan ayah, Sulaiman Mahmood, 70, akan membantu ibu di gerai. Kami menyediakan 50 pinggan nasi ayam setiap Jumaat yang berharga RM1.
“Seawal pukul 10 pagi sudah ada permintaan nasi ayam daripada pelanggan dan akan habis menjelang pukul 12 tengah hari. Saya tidak sediakan terlalu banyak kerana bimbang ibu dan ayah tidak menang tangan melayan pelanggan.
“Walaupun RM1, tiada bahagian atau sukatan yang dikurangkan. Bezanya pada harga kerana nasi ayam yang dibeli secara bungkus berharga RM5,” katanya ketika ditemui.
Tambah Suhaimi, dia menggunakan lima ekor ayam seberat dua kilogram seekor dan dipotong 12 bahagian bagi penyediaan 50 pinggan nasi ayam.
Jelasnya, dia mahu pelanggan yang menikmati hidangan tersebut berasa puas dan gembira kerana tidak semua yang datang ke gerainya berkemampuan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak untung, tetapi saya masih mampu menampung kos modal nasi ayam dengan perniagaan lain. Ini bukan kali pertama saya memperkenalkan hidangan RM1 kerana sebelum ini saya pernah menjual chicken chop pada harga sama.
“Ada juga pelanggan yang makan nasi ayam RM1 akan membayar lebih dari yang sepatutnya. Melihat sambutan menggalakkan ini, saya merancang untuk memperkenalkan lebih banyak menu RM1 pada masa depan,” ujarnya.-UTUSAN