Johor mahu jadi hab pelancongan sukan antarabangsa - Utusan Malaysia

Johor mahu jadi hab pelancongan sukan antarabangsa

MOHD. HAIRI MAD SHAH (belakang, tengah) bergambar dengan para penaja dan pelumba pada Majlis Pelancaran L'Etape Johor By Tour De France di Velodrom Johor, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri ingin menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan antarabangsa dengan penganjuran beberapa temasya sukan pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ini termasuk dengan penganjuran temasya L’Etape Johor oleh Tour De France pada 8 Julai ini yang menyasarkan 6,000 peserta dari dalam dan luar negara.

“Penganjuran L’Etape Malaysia tahun lalu telah berjaya menarik penyertaan seramai 4,700 peserta dan menjadi penganjuran L’Etape kedua terbesar oleh Tour De France.

“Ini menunjukkan terdapat daya tarikan tinggi terhadap aspek pelancongan sukan di negeri ini, dan kita yakin edisi L’Etape kali ini mampu melakar sejarah lebih baik berbanding sebelumnya. Perlumbaan itu bukan sahaja meletakkan Johor sebagai hab pelancongan sukan di negara ini, malah juga rantau Asia Tenggara kerana lokasinya yang strategik dan berhampiran dengan Singapura dan Indonesia,” katanya ketika melancarkan L’Etape Johor 2023 by Tour De France di Velodrom Johor, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Perlumbaan L’Etape Johor 2023 by Tour De France yang akan berlangsung pada 8 Julai ini menampilkan lima kategori, antaranya laluan sejauh 140 kilometer, kategorikan individu dan berpasukan serta kategori Elite melibatkan pelumba kompetitif.

Sementara itu, Suhairi pula memberitahu, Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan sukan di negeri ini atas beberapa faktor termasuk kelengkapan fasilitinya.

“Bagi aspek pelancongan sukan, memang Johor memberikan tumpuan terhadap beberapa sukan baharu untuk dijadikan teras, antaranya permotoran, sukan lasak dan berbasikal, apabila sukan ini diadakan memang dapat sambutan.

“Selain fasiliti sukan yang baik, ia turut disokong industri bagi memastikannya perkembangan pada masa akan datang, mengambil contoh Desaru, pelbagai kemudahan berkaitan telah tersedia,” katanya.

Selain Malaysia, perlumbaan L’Etape turut dianjurkan di lebih 20 negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya