Johor kekurangan doktor, jururawat, pesakit tunggu lama - Utusan Malaysia

Johor kekurangan doktor, jururawat, pesakit tunggu lama

LING TIAN SOON mengadakan tinjauan ke HSI bagi melihat keadaan di HSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut bagi membolehkan hospital awam di negeri ini dapat berfungsi pada tahap optimum selain menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“JKNJ kekurangan hampir 2,800 staf kesihatan, khususnya doktor dan jururawat di negeri ini. Adalah menjadi harapan saya agar pihak KKM dapat mempertimbangkan agar jawatan ini diisi dengan segera bagi menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat di negeri Johor,” katanya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Perkara itu turut disuarakan Onn Hafiz ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Norazman Ayub yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Dalam pertemuan itu, Onn Hafiz juga meminta pihak KKM melihat cara yang lebih tuntas untuk mengurangkan kesesakan di hospital-hospital di Johor, khususnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Semalam, Tian Soon yang mengadakan tinjauan ke HSI mendapati faktor kekurangan staf kesihatan menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum menerima rawatan dan mencadangkan supaya pihak hospital terbabit dapat mengkaji semula penambahan staf bertugas pada setiap syif.

“Ini kerana pada setiap syif, dianggarkan seramai tujuh hingga sembilan doktor bertugas dan mereka perlu dipecahkan kepada zon merah, zon kuning, zon hijau dan zon asma serta triage. Jika keadaan di zon kuning dan merah menerima terlalu ramai pesakit, mereka tidak dapat bertugas di zon hijau dan akan menyebabkan masa menunggu menjadi panjang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya masa operasi Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang terletak bersebelahan dengan HSI dapat dipanjangkan bagi memberikan rawatan kepada kes bukan kecemasan di hospital itu.

“Sekiranya masa operasi klinik itu dapat dilanjutkan, pesakit yang tidak memerlukan rawatan kecemasan tidak perlu menunggu lama dan dirujuk ke klinik itu, sekali gus dapat meringankan beban Jabatan kecemasan HSI,” katanya sambil berharap kerusi yang rosak perlu ditukar selain menambah kerusi di zon hijau agar pesakit dan warisnya dapat menunggu dalam keadaan yang lebih selesa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya