KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri diminta mengkaji semula bantuan disalurkan kepada lima orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam setelah kediaman mereka terbakar di Kampung Rumbia, Beserah di sini.
Lima anak istimewa itu adalah Mohamad Asrul Nizam Abdul Rani, 38, Siti Nurul Ashikin, 35, Mohamad Iskandar, 31, Mohamad Ikmal Hakimi, 24, dan Mohamad Amir Azwan, 20.
Pengerusi Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, lima beradik OKU tersebut berdepan ujian cukup besar dalam hidup mereka bermula kehilangan ibu bapa tercinta yang meninggal dunia pada April tahun lalu dan Mac lalu, kini hilang pula tempat tinggal.
“Ini ujian cukup besar buat lima OKU tersebut. Jadi PPNP berharap JKM Pahang kaji semula bantuan disalurkan kepada mereka.
“Mungkin JKM boleh membuat penambahan nilai bantuan ataupun inisiatif lain bagi membantu lima OKU ini dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya ketika ditemui selepas hadir menyampaikan sumbangan kepada OKU berkenaan di Kampung Rumbia di sini hari ini.
Bapa adik beradik tersebut, Abdul Rani Mat, 63, meninggal dunia 18 Mac lalu kerana masalah kegagalan oksigen manakala ibu mereka, Zawiyah Mahmud, 58, meninggal dunia pada 24 April tahun lalu.
Kini tugas menjadi lima adik beradik OKU tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Nurul Aina Fitrah, 28, dan kakaknya, Nur Azuraida, 40,.
Zuhairi berharap sumbangan PPNP dapat meringankan beban lima OKU itu terutama kakak mereka, Nurul Aina Fitrah dan Nur Azuraida yang menjaga dan menguruskan kebajikan anak istimewa berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berharap pelbagai pihak tampil membantu lima OKU tersebut yang berdepan ujian cukup besar dalam hidup mereka.
“Mereka ini bukan sahaja berdepan ujian sebagai OKU malah ujian kehilangan ibu tercinta, selepas itu ayah dan kini hilang pula tempat mereka berteduh,” katanya.
Beliau berpandangan, musibah dihadapi lima OKU itu sebenarnya ujian kepada rakyat berhubung apa tindakan yang diambil masyarakat bagi membantu mereka.
Menurutnya, pada Ogos tahun lalu, anak-anak istimewa itu menerima kunjungan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers diketuainya yang hadir menyampaikan sumbangan kepada mereka. – UTUSAN