Jalan Sikamat kini dikenali sebagai Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza - Utusan Malaysia

Jalan Sikamat kini dikenali sebagai Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza

AHLI keluarga Allahyarham Datuk Syeikh Mohd. Murtadza termasuk isteri Allahyarham, Datin Lily Sidek (berkerusi roda) bergambar di hadapan papan tanda nama baharu Jalan Sikamat yang digantikan dengan nama Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza pada majlis pelancaran nama jalan tersebut di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jalan Sikamat sepanjang 7.9 kilometer di sini yang bermula dari persimpangan lampu isyarat Kem Sikamat sehingga ke persimpangan Jalan Pantai kini dikenali sebagai Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penggantian kepada nama mufti ketiga Negeri Sembilan iaitu Datuk Syeikh Mohd. Murtadza Syeikh Ahmad itu adalah sebagai menghargai segala jasa tokoh ulama itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, Allahyarham yang meninggal dunia pada tahun 2017 telah memberikan pelbagai sumbangan khususnya dalam bidang agama Islam kepada masyarakat.

“Ini sebagai mengingati jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam membangunkan syiar Islam di negeri ini. Kerajaan negeri memilih Jalan Sikamat ini supaya ia menjadi ingatan oleh masyarakat pada masa hadapan tentang siapakah itu Syeikh Mohd. Murtadza.

“Kami melihat jalan ini juga berhampiran dengan Tanah Perkuburan Islam Sheikh Haji Mohd. Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd. Said, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad dan SMK Dato’ Haji Mohd. Redza yang kesemuanya merupakan keluarga Allahyarham.

“Ia sesuatu yang baik dan mudah untuk orang ramai mengingati keluarga besar tokoh ulama ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Nama Baharu Bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di sini hari ini.

AMINUDDIN Harun (tujuh dari kanan) pada Majlis Pelancaran Nama Baharu Bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di sini hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali memberitahu, Jalan Sikamat merupakan jalan yang terletak di bawah penyelenggaraan MBS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan.

“Jalan Sikamat telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan untuk dinamakan sebagai Jalan Dato’ Syeikh Mohd. Murtadza memandangkan ia masih tidak mempunyai nama khusus. 

“Ia juga adalah sebagai tanda menghargai sumbangan Allahyarham di dalam bidang agama khususnya kepada masyarakat Islam di Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya