PORT DICKSON: Bilangan anggota Jabatan Imigresen Malaysia akan ditambah di pintu masuk negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahan jumlah anggota Imigresen tersebut adalah penting bagi mengatasi isu kesesakan di kedua-dua pintu masuk utama negara itu.
Jelas beliau, penambahan anggota berkenaan termasuk menerusi seramai 221 orang anggota dan pegawai yang baharu menamatkan latihan hari ini.
“Paling penting adalah kami tugaskan mereka di Tambak Johor dan juga KLIA 1 dan 2, sekali gus dapat tambahkan kekuatan petugas kami yang dapat meredakan kesesakan di kedua-dua pintu masuk penting negara itu.
“Sebelum ini ada berlaku beberapa ketika kekurangan daripada segi penugasan di Johor dan di KLIA, kami percaya selain daripada Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) yang ditubuhkan secara ad-hoc dengan tamat latihan 222 orang anggota ini, saya optimis penugasan ini dapat redakan isu kesesakan di pintu masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kadet Kursus Sijil Asas Keimigresenan Gred KP19, KP29 dan KP41 Siri 1 Tahun 2023 di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.
Katanya, pegawai-pegawai kadet berkenaan akan mula bertugas secara rasmi pada 22 Mei dengan seramai 101 orang ditempatkan di KLIA manakala seramai 104 orang ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.
Baki anggota yang lain akan ditempatkan di Bahagian Keselamatan dan Pasport, Putrajaya; Akademi Imigresen Malaysia dan juga Jabatan Imigresen Malaysia, Kuala Lumpur; Putrajaya, Selangor dan Sarawak.
Saifuddin Nasution menambah lagi, memang menjadi kesungguhan Jabatan Imigresen Malaysia ketika ini untuk menangani isu kesesakan di Tambak Johor dan KLIA.
“Kita ada 140 pintu masuk, boleh sahaja kita tambah (mereka) di pintu-pintu masuk yang lain, tetapi kerana kesungguhan kita adalah untuk meredakan kesesakan di pintu masuk strategik negara iaitu di KLIA dan Tambak Johor.
“Sudah tentu tindakan menempatkan mereka di situ menjadi keutamaan berbanding pintu masuk lain, saya percaya ia boleh redakan isu kesesakan di situ,” katanya lagi. –UTUSAN.