TUMPAT: Seorang ibu berdepan detik cemas apabila anaknya yang berusia 14 bulan tidak berhenti menangis selepas besi alas periuk tersangkut pada bahagian leher bayi tersebut di rumah mereka di Taman SPP Kota Warisan di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, wanita berusia 37 tahun itu cuba mencabut alas periuk itu daripada leher anaknya sebelum menghubungi talian kecemasan untuk bantuan segera.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd. Nazdy Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.11 petang sebelum bergegas ke rumah mangsa.
“Anggota bomba menggunakan pemotong besi untuk memotong alas periuk yang berada di leher bayi itu.
“Kerja-kerja pemotongan besi itu mengambil masa selama kira-kira lapan minit. Bayi itu bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Mohd. Nazdy memberitahu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak masing-masing terutamanya bayi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.-UTUSAN