SEREMBAN: Pihak Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini akan mewujudkan jawatankuasa bagi menyiasat satu dakwaan di media sosial Facebook bahawa terdapat seorang pesakit yang diarah untuk discaj dari wad walaupun dalam keadaan masih tidak stabil.
Pengarah HTJS, Datuk Dr. Zaleha Md. Noor berkata, jawatankuasa itu akan terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan yang akan menyiasat dengan teliti isu terbabit.
“Pihak HTS memandang serius isu ini dan satu pertemuan dengan pengadu akan diadakan bagi mendapatkan gambaran terperinci serta membincangkan aduan yang tular ini.
“Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terlibat sepanjang proses siasatan ini dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular hantaran seorang pengguna akaun Facebook mendakwa diarah oleh doktor di HTJS supaya suaminya di discaj dari wad walaupun masih dalam keadaan koma dan tidak stabil.
Wanita tersebut juga mendakwa suaminya terpaksa pula dimasukkan dan mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu selepas suaminya itu diserang sawan ketika berada di dalam ambulans yang pada ketika itu dalam perjalanan membawa suaminya pulang ke kampung.-UTUSAN.