Hasil padi rendah: Tiga perkara asas utama masih gagal selesai

Hasil padi rendah: Tiga perkara asas utama masih gagal selesai

KEGAGALAN kebanyakan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merangkumi Kedah dan Perlis yang masih sukar meningkatkan hasil padi adalah kerana isu membabitkan tiga perkara asas utama yang gagal diselesaikan sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kegagalan kebanyakan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merangkumi Kedah dan Perlis yang masih sukar meningkatkan hasil padi adalah kerana isu membabitkan tiga perkara asas utama yang gagal diselesaikan sepenuhnya.

Ia melibatkan isu tanah yang elok dan subur, sistem pengairan serta amalan pertanian yang baik.

Justeru, jika tiga perkara asas utama tersebut masih gagal diselesaikan, dengan penggunaan teknologi moden atau baharu dalam pertanian sekali pun tidak akan berkesan membantu meningkatkan hasil padi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, teknologi atau pemodenan pertanian sememangnya penting dalam memudahkan urusan pesawah mengusahakan tanaman padi namun dalam masa sama ,kerajaan, agensi dan petani sendiri tidak boleh meletakkan faktor tersebut sebagai antara kaedah meningkatkan hasil.

Katanya, tanaman di Sekinchan, Selangor yang dikatakan menghasilkan tujuh sehingga 11 tan metrik padi per hektar bukan terletak pada penggunaan jentanam padi atau dron yang terkini, namun memerlukan tiga asas utama tersebut iaitu tanah yang elok dan subur, sistem pengairan yang baik dan amalan pertanian yang betul oleh para petani.

Jelas beliau, tiga perkara asas tersebut perlu seiring dan berjalan sekali dengan penggunaan teknologi moden berkenaan.

“Sebagai contoh, jika Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat cipta benih yang boleh bagi hasil 12 tan metrik hasil per hektar sekali pun, namun petani tidak akan mampu mendapatkan hasil serupa sekiranya musim itu bekalan air bermasalah atau agihan baja subsidi lewat sampai kepada petani yang akhirnya menyebabkan padi terbantut dan hasil jadi rendah.

“Jadi semua agensi yang mengurus tadbir hal masing-masing perlu duduk semeja supaya koordinasi itu tepat. ‘Timing’ (pemasaan) sangat penting dalam penanaman padi. Sebagai contoh, jika air lambat masuk, padi kurang hasil, kalau baja lambat sampai, pokok akan mula lapar dan lemah yang akhirnya mudah terkena serangan penyakit dan hasil jatuh,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kaedah penanaman padi konvensional yang tidak efisien menyebabkan Malaysia kerugian RM1.8 bilion setahun kerana mengimport satu juta tan metrik beras bagi menampung keperluan tempatan.

Ezreen Muhaizi berkata, tiga perkara asas tersebut antaranya tanah adalah antara faktor terpenting kerana para pesawah masih menggunakan jentera beroda yang berat untuk tujuan penyediaan tanah dan menuai padi.

“Tanah yang dalam dan lembut banyak memberi masalah kepada urusan kerja awal dan kerja menuai. Antara limitasi penggunaan jentanam adalah kerana tanah-tanah di Utara ini lebih dalam dan lembut. Perkara ini perlu diteliti kerana rata-rata petani berkeinginan untuk menggunakan jentanam moden ini.

“Padi yang ditanam dengan sekata oleh jentanam terbukti mampu memberi pertumbuhan anak padi yang lebih banyak, penyerapan nutrien yang lebih sekata, risiko untuk penyakit merebak lebih rendah dan pokok padi tidak mudah rebah menjelang tuaian.

“Selain itu, pemulihan dan rawatan tanah juga perlu diberi penekanan supaya nilai pH tanah sentiasa dijaga daripada awal penanaman sehingga tuaian. Tanah yang berasid (tanah masam) akan menyukarkan nutrien baja NPK diurai di dalam tanah untuk diserap oleh akar, lantas akan membantutkan pertumbuhan pokok dan mengurangkan hasil padi,” katanya.

Tambah Ezreen Muhaizi, dari aspek sistem pengairan, agensi seperti MADA perlu lebih fleksibel dan proaktif dalam menguruskan sumber air yang terhad.

Katanya, sistem yang ada di kawasan MADA tidaklah sehebat di kawasan Sekinchan dan Seberang Perak kerana sumber air di sana tersedia sepanjang masa selain pengurusan air masuk dan buang juga lebih mudah berbanding di sini.

“Malah masih ada kawasan sawah di sini yang tidak mempunyai kedua-dua belah parit air masuk dan buang yang berbeza. Justeru ia menyukarkan petani untuk membuang air dengan cepat ketika musim hujan. Jika dibiarkan anak padi akan tenggelam dan akhirnya mati.

“Lebih penting lagi ketika padi memerlukan air ketika kemarau luar jangka berlaku. Malah dengan ramalan El Nino berlanjutan sehingga September ini, ia bakal memberi cabaran besar kepada petani.

“Oleh yang demikian pembekalan air oleh MADA perlu sentiasa diubah dari semasa ke semasa mengikut sumber ramalan cuaca yang terkini dan tidak terikat dengan jadual air yang dikeluarkan lebih awal sebelum ini,” katanya.

Katanya, jika kesemua faktor tersebut mampu dilaksanakan, ia tetap berbalik kepada faktor amalan dan sikap petani itu sendiri.

Katanya, rata-rata petani yang beroleh hasil tinggi adalah mereka yang rajin membuat pemantauan di bendang setiap hari, malah ada yang turun ke bendang pada waktu malam untuk mengesan kehadiran serangga pemusnah seperti rama-rama yang bertelur dan membiakkan ulat memusnahkan pokok padi.

“Apabila petani beroleh amaran awal seperti ini, maka kawalan racun dapat dibuat cepat dan mampu untuk mengurangkan populasi serangga pemusnah. Dalam aspek kawalan penyakit, terlewat membuat kawalan beberapa hari sahaja mampu untuk memberi kesan besar kepada kerosakan padi yang lebih besar, contohnya serangan bena perang.

“Selain itu, pengetahuan dan ilmu pertanian juga perlu diberi kepada petani, bukan sahaja dalam mengenal jenis penyakit padi, tetapi juga dari segi amalan tuaian yang betul, supaya setiap padi yang dibawa ke kilang adalah padi yang kering dan bersih daripada hampa padi, padi muda dan batang padi.

“Faktor tanah, air dan ilmu kepertanian itu sebenarnya perlu diberi penekanan. Teknologi dron dan sebagainya adalah medium pemudah yang membantu menaikkan lagi hasil jika ketiga-tiga faktor utama tadi diselesaikan terlebih dahulu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN