SHAH ALAM: Menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keempat-empat isteri bukan mudah, tetapi itulah uniknya bagi suami dan isteri yang mengamalkan poligami mengharungi cabaran beraya.
Rumah siapa patut didahulukan, giliran siapa, baju raya warna apa dan pergerakan keluar beraya itu semua persoalan yang bermain di fikiran mereka, malah orang lain pun pasti tertanya-tanya bagaimana kekusutan itu diselesaikan.
Menurut Abdul Syaheed Ismail yang mempunyai empat orang isteri memberitahu, situasi tersebut sukar dilalui pada awal perkahwinan, namun saban tahun ahli keluarganya belajar membaiki keadaan demi memastikan kemeriahan sambutan Syawal.
“Tak mungkin saya dapat pulang ke rumah semua keluarga mentua. Isteri pertama Hanisah Mohamad Hadzir, 40, kampungnya di Sik Kedah. Isteri kedua pula, Umun Najwah Hussin, 39, di Sabak Bernam, Selangor, yang ketiga, Haryani Ithnen, 43, dari Kota Tinggi, Johor dan keempat, Nor Sabariah Mansor, 35, di Marang, Terengganu.
“Memang tak terdaya, cuti raya cuma seminggu. Tetapi, alhamdulillah, soal giliran, isteri-isteri yang akan uruskan. Mereka akan balik ke kampung masing-masing, cuma saya perlu patuh tahun ini giliran mana.
“Bila beraya, kami pun berkonvoi empat kereta berjalanlah rumah ahli keluarga, saudara-mara yang lain. Setiap kereta ada walkie-talkie untuk mudah berhubung ketika dalam perjalanan. Macam itulah uniknya raya dengan empat isteri,
“Setiap kereta ada walkie-talkie senang hendak berhubung ketika dalam perjalanan. Macam itulah uniknya beraya untuk keluarga poligami,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (Harmoni).
Jelasnya, sambutan hari raya memang harmoni, namun memerlukan pengorbanan suami dan setiap isteri demi memastikan keutuhan rumah tangga dan keceriaan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pernah keluarga mentua tanya, bila balik raya lagi, saya jawab tunggu empat tahun lagi,” selorohnya.
Kongsi Abdul Syaheed lagi, paling mencabar adalah ketika menyambut Hari Raya Aidiladha berikutan cuti umum yang terhad, namun perlu pulang di semua rumah keluarga.
“Kebiasaan Hari Raya Haji saya akan sambut raya bersama emak sama ada dekat kampung di Kelantan atau di Rawang, Selangor. Kemudian saya kena balik ke Terengganu, Kedah, Sabak Bernam dan Johor dalam masa dua hari cuti,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia yang bekerjaya sebagai seorang peguam memberitahu sudah mengamalkan poligami sejak 2009 dengan mengikut jejak langkah bapa yang berkahwin dua.
“Saya berkahwin kali pertama ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2003 dan dikurniakan anak pertama pada 2004. Sementara isteri kedua hingga keempat adalah ibu tunggal. Saya ada empat orang anak tiri, sembilan anak kandung serta dua yang sudah meninggal.
“Saya sanggup berpoligami kerana memikul tanggungjawab dan dalam masa sama dapat menyumbang kepada keluarga terutama isteri-isteri. Pada mulanya, keluarga terutama pihak mentua memang tidak setuju, tetapi ibu bapa mentua lebih memahami, saya sudi peristerikan ibu tunggal,” jelasnya. – UTUSAN