Hari pertama jadi suami, Esma Daniel bawa isteri kenal keluarga - Utusan Malaysia

Hari pertama jadi suami, Esma Daniel bawa isteri kenal keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kembali bergelar suami selepas lima tahun menduda, pelakon Esma Daniel, 54, membawa isterinya, Nur Atira Mazlan, 31 berkunjung ke rumah saudara dan keluarga terdekat bagi menguatkan ikatan silaturrahim.

Menurut Esma, berita gembira bergelar suami kepada Atira perlu dihebahkan tambahan pula ada sanak-saudara yang tidak berkesempatan menghadiri majlis pernikahan yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Kajang, semalam.

“Hari ini saya seperti beraya. Cuma serinya berbeza sebab kini saya sudah beristeri.

“Saya bawa isteri berziarah ke rumah adik-beradik dan saudara mara. Maklumlah berita tentang perkahwinan ini elok kita uar-uarkan.

“Lagi pula ada juga saudara yang tidak sempat menghadiri majlis perkahwinan kami semalam, jadi hari ini kita raikanlah,” katanya dengan nada cerita ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Esma lagi, bukan mudah baginya untuk membuat keputusan menamatkan zaman bujang selepas lima tahun menduda. Namun kejujuran yang dimiliki Atira telah membuatkan Esma yakin untuk menyuntingnya sebagai isteri.

“Ada orang yang berkawan dengan saya sekadar mengambil kesempatan. Ada yang jadikan saya sebagai batu loncatan. Ingin dikenali.

“Selama kami berkenalan, saya tidak pernah tunjuk atau muat naik gambar Atira di media sosial. Kadang ada juga dia bertanya, sebab iyalah perempuan inginkan kepastian.

“Namun saya lihat, Atira seorang yang jujur. Kejujuran itulah yang membuatkan saya suka kepadanya,” tambahnya lagi.

Sebelum berkahwin, Esma turut berbincang mengenai kariernya sebagai seorang pelakon kepada isteri dan keluarga mentuanya bagi mengelakkan salah faham.

“Saya bagi isteri ke set penggambaran. Saya tunjukkan set ini ibarat pejabat, tempat bekerja. Memang kami sesama pelakon kadang kala mesra namun tetap ada batas dan adabnya.

“Apa yang dipaparkan di dalam skrin, hanyalah sekadar lakonan. Selepas lakonan tamat, saya akan kembali menjadi diri saya. Lama-lama dia faham.

“Saya terangkan perkara ini kepada isteri dan juga keluarganya kerana risau jika ada salah faham ia akan menimbulkan masalah yang besar,” tambahnya lagi.

Kerana jadual penggambaran yang padat, Esma tidak berkesempatan untuk mengambil cuti berbulan madu.

“Insya-Allah dalam bulan depan saya akan melakukan penggambaran untuk naskhah terbaru di Penang. Alang-alang saya bawalah isteri, berbulan madu,” katanya.

Terdahulu, Esma disatukan dengan pasangannya Nur Atira Mazlan dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan di Kajang, Selangor.

Untuk info, Esma pernah berkahwin dengan pelakon Sherie Merlis pada tahun 1992 namun bercerai pada tahun 1997. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua anak.

Kemudian pelakon itu mendirikan rumah tangga bersama Nitra Sari Omar pada tahun 2002 dan bercerai pada tahun 2016. Mereka dikurniakan enam anak hasil perkahwinan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya