KEMAMAN: Seorang pengunjung salah sebuah taman rekreasi di Kijal, dekat sini terkejut apabila menemukan beberapa haiwan peliharaan di taman rekreasi itu dalam keadaan terbiar, kelaparan serta tidak dijaga rapi, Ahad lalu.
Nik Suhailah Nik Cob, 30, berkata, dia bersama kakaknya, Nik Suzliyati, 34, serta beberapa ahli keluarganya ke taman rekreasi itu untuk bermandi-manda dan berasa pelik apabila kucing dan ayam yang dipelihara dalam sangkar tidak berhenti berbunyi dengan kuat.
“Ketika kami sedang mandi, kami perasan haiwan tersebut tidak berhenti berbunyi, kemudian, selepas selesai mandi, kami pergi melihat sangkar berkenaan dan agak terkejut apabila tiada makanan dan air yang disediakan untuk kira-kira empat ekor kucing dan tiga ekor ayam tersebut.
“Selain tidak diberi makanan, keadaan sangkar tersebut juga berbau busuk dan tidak dijaga pemiliknya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Nik Suhailah berkata, dia juga menemukan beberapa ekor bangkai kucing dalam sangkar itu yang dipercayai mati kelaparan.
“Mujurlah saya memang sentiasa bawa makanan kucing dalam kereta. Saya ambil makanan kucing dan air untuk diberikan kepada haiwan tersebut, kemudian barulah kucing dan ayam itu tidak lagi berbunyi kuat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Anum Man, ketika dihubungi berkata, pihaknya mengeluarkan notis penambahbaikan untuk penjagaan, kebersihan dan kebajikan kucing terhadap pemiliknya sehingga 22 Mei ini.
“Siasatan awal mendapati kucing tersebut adalah kucing jalanan yang dibuang orang awam di taman rekreasi tersebut dan kemudiannya pemilik mengambil inisiatif menyediakan sangkar dan makanan untuk mengurangkan kacau ganggu,” ujarnya. -UTUSAN