JELI : Graduan politeknik dilihat semakin aktif terlibat dalam bidang pertanian sekali gus membantu kerajaan dalam memenuhi aspek keterjaminan makanan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, tahap kesedaran itu memberikan petunjuk positif kepada industri pengeluaran sumber makanan dalam memenuhi keperluan rakyat.
“Negara kita kini sedang menuju ke arah mencukupkan hasil makanan negara dengan kaedah kita sendiri. Graduan politeknik juga cukup menyedari perkara ini.
“Kita akan sediakan graduan-graduan kita supaya mereka belajar, faham dan bersedia menceburi bidang pertanian bagi menyahut usaha kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Jeli Kelantan Kali kesembilan, di sini hari ini.
Mohd. Zahari memberitahu, berdasarkan pengalaman melalui beberapa program dijalankan di beberapa politeknik termasuk Politeknik Jeli Kelantan, golongan muda menunjukkan penerimaan positif terhadap bidang pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya.
Katanya, golongan muda kini telah dapat melihat dan mengetahui terdapat ruang dan peluang yang besar dalam bidang pertanian.
“Cuma apa yang saya nampak sekarang ini adalah usaha kita untuk memperkasakan bidang pertanian, penternakan, perikanan dan keterjaminan makanan ini masih berada di peringkat bawah. Jadi ia mesti digerakkan dengan lebih agresif.
“Minat golongan muda terhadap bidang pertanian memang ada. Hari ini sahaja kita lihat hampir 300 graduan dari bidang akuakultur dan agro pertanian menerima diploma masing-masing dan mencapai cita-cita mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan setakat ini belum ada institusi politeknik serta kolej komuniti ditutup berikutan keadaan cuaca panas luar biasa dan keadaan masih terkawal.
“Kita sentiasa bersedia dan pihak kementerian telah mengeluarkan arahan supaya semua institusi di bawahnya berhati-hati serta sentiasa mengikuti arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kita akur dan semua aktiviti di politeknik serta kolej komuniti berada dalam keadaan terkawal. Aktivit di kawasan bertutup termasuk kuliah dibenarkan seperti biasa. Setakat ini tiada sebarang isu besar berhubung perkara itu,” ujarnya.-UTUSAN