Gaduh: Dua lagi ditahan - Kamarul Zaman - Utusan Malaysia

Gaduh: Dua lagi ditahan – Kamarul Zaman

Kamarul Zaman Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menahan dua lagi individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan Tampoi, di sini yang tular dalam media sosial kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dengan tangkapan itu, seramai lapan individu ditahan setakat ini melibatkan suspek berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Pihaknya masih lagi mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat atau menjadi saksi pergaduhan berkenaan.

“Sebenarnya, kes pergaduhan yang bermula antara pelajar sekolah ini sudah selesai apabila polis telah bertemu dengan keluarga kedua-dua pihak, tetapi yang menjadi isu ketika ini adalah apabila orang luar campur tangan.

“Jadi, nasihat kami supaya semua pihak tidak mengganggu siasatan polis dan tidak membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengapi-apikan lagi keadaan. Polis Johor akan bertindak tegas terhadap semua pihak yang didapati terlibat melanggar sebarang undang-undang negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148, 365 dan 385 Kanun Keseksaan.

Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat tindakan salah satu pelajar membaling pemadam kepada pelajar lain sebelum terjadinya pergaduhan antara mereka.

Insiden berkenaan didakwa semakin parah apabila satu pihak memanggil individu dari luar sekolah untuk terlibat sama sehingga menyebabkan beberapa individu cedera termasuk di bahagian kepala.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, seramai enam suspek termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan.

Dalam rakaman video berdurasi 28 saat yang tular itu, beberapa individu dilihat memukul seorang lelaki yang terbaring di atas jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya